KUCHING - Jumaat, 14 Jun 2019 - Objektif projek kerjasama antara Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) adalah bagi membangunkan garis panduan dan pelaksanaan pemantauan sinaran frekuensi radio (RF) yang dihasilkan oleh struktur pemancar telekomunikasi di seluruh Sarawak. Selain itu, kerjasama ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada rakyat Sarawak dan memberi jaminan kepada rakyat bahawa sinaran frekuensi radio (RF) adalah pada aras yang selamat.
Nuklear Malaysia yang merupakan institut penyelidikan terunggul di Malaysia yang mempunyai kepakaran dan peralatan bagi menjalankan penilaian keselamatan aras sinaran RF. Secara umumnya, projek kerjasama ini adalah untuk menjalankan penilaian keselamatan aras sinaran frekuensi radio yang dihasilkan oleh struktur pemancar telekomunikasi di Sarawak. Isu keselamatan sinaran RF yang dipancarkan oleh struktur pemancar telekomunikasi semakin mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Orang ramai bimbang dengan kesan kesihatan dan kesan jangka panjang sinaran RF tersebut. Ini memandangkan struktur pemancar telekomunikasi dibina berhampiran kawasan kediaman, kawasan komersil dan dalam kawasan sekolah. Oleh itu pemantauan aras sinaran RF diperlukan bagi memastikan aras sinaran tersebut mematuhi had dedahan yang dibenarkan untuk orang awam.
Nuklear Malaysia telah membangunkan sistem AREFCERT yang merupakan pengkalan data bagi maklumat aras sinaran RF pemancar telekomunikasi. Maklumat pengukuran aras sinaran RF dan sijil sinaran RF akan dimuatnaik dalam sistem AREFCERT dan orang awam boleh mengakses maklumat tersebut dengan mengimbas kod QR di setiap struktur pemancar menggunakan telefon pintar. Ia adalah sistem penyampaian maklumat berkesan kepada orang awam yang mahu mengetahui keselamatan sinaran RF di setiap struktur pemancar dengan cepat, tepat dan mudah.
Semua struktur pemancar telekomunikasi di Sarawak akan dinilai dan dipantau aras sinarannya bagi memastikan ianya mematuhi had dedahan untuk orang awam seperti yang dinyatakan dalam piawaian had dedahan yang digunakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan International Commission On Non –Ionizing Radiation Protection (ICNIRP) dan di perakui oleh World Health Organization (WHO).
Kesimpulannya, pelaksanaan projek ini akan melancarkan pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Sarawak serta memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap pematuhan keselamatan aras sinaran RF.